
Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan turut menyifatkan tuduhan Mufti Perak itu yang menyatakan bahawa pas bersekongkol dengan bukan Islam sehingga melanggar hukum hakam agama adalah tuduhan berat.
“Ini tuduhan yang berat dan kita (Pas) kita tak dapat terimanya. Saya minta dia (Harussani) sila kemukakan bukti dan jangan buat kenyataan umum,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab balik kenyataan Harussani kelmarin yang menyatakan memang benar sebagaimana diperintah menyokong atau membantu umat Islam adalah wajib tetapi dalam pada itu beliau turut mempersoalkan keadaan orang Islam (Pas) sanggup bersekongkol dengan bukan Islam sehingga melanggar hukum hakam.
Kesal dengan kenyataan itu, Mohamed Fadzli turut menyindir Harussani supaya beliau jangan berdiam diri dengan segala kemungkaran yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).
“Jangan nanti orang menganggap beliau hanya menjadi alat kepada BN,” katanya.
Kelmarin, Mohamed turut menggesa Harussani supaya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perak dan menyertai politik sekiranya beliau berterusan memberi kenyataan memihak kepada BN.
Dalam pada itu, berhubung teguran Harunssani terhadap kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz di dalam kempennya menyatakan “undi Pas masuk syurga, undi UMNO masuk neraka pula” Mohamed Fadzli bersetuju dengan penjelasan Harussani yang mengatakan bahawa syurga dan neraka itu hak Allah SWT dan ditentukan mengikut amal perbuatan manusia bukannya pemilihan parti politik.
Namun, Mohamed menegaskan, Pas tidak pernah mengatakan syurga dan neraka itu hak pemimpin Pas.
“Tetapi Islam tidak suruh kita duduk diam, lenggang tangan goyang kaki, tak perlu buat apa-apa sebab semuanya ditentukan Allah SWT hatta syurga neraka sekalipun.
“Sebaliknya Allah SWT telah menegaskan bahawa semua perbuatan manusia dikira dan Allah SWT menyuruh kita sentiasa melakukan kebaikan untuk menempah syurga. Jadi bukankah berpolitik dan memilih pemimpin itu adalah amalan perbuatan manusia,” katanya.
No comments:
Post a Comment